Terbaru Dari Facebook

16.5.10

SAMBUTAN HARI GURU 2010 HANGAT

0 komentar
TELUK INTAN, 14 Mei - Sekolah Rendah Al-Munir Padang Tembak telah melangsungkan sambutan Hari Guru lebih awal berikutan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, sambutan ini didapati cukup meriah walaupun dibuat dua hari lebih awal.

Seawal jam 7.30 pagi, para murid dan guru berkumpul dan berbaris di medan perhimpunan. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Fatihah, lagu Negaraku, juga lagu sekolah. Majlis kemudiannya disusuli ucapan daripada wakil pelajar, Hanif Jamaluddin, diikuti ucapan perutusan Hari Guru oleh Ustaz Haji Suhaimi Haji Sanusi, diakhiri dengan ucapan daripada Pengerusi Sekolah Rendah Al-Munir, Tuan Haji Sanusi Suratman.

Kemudian tibalah slot persembahan daripada murid dan guru. Murid-murid cukup hebat mendeklamasi sajak dan berpantun. Tidak kurang juga yang mampu bernasyid walaupun hanya beberapa hari sahaja membuat persediaan. Lakonan daripada pelajar yang membuatkan para guru tidak kering gusi pula memeriahkan lagi suasana.

Apabila tiba giliran para guru membuat persembahan, Al-Munir diselubungi sunyi. Deklamasi sajak oleh Ustazah Saadah Abbas, disusuli oleh Ustaz Hafiszuddin Ainuddin, yang dihiasi muzik latar yang menyedihkan membuatkan ramai guru dan pelajar tunduk, menitiskan air mata.

Kemuncak majlis akhirnya jelang tiba dengan penyampaian hadiah oleh para murid kepada guru-guru, menandakan kasih sayang mereka pada guru-guru yang telah berkorban mendidik mereka selama ini.

Majlis berakhir pada pukul 9.30 pagi.


---
Album sekitar majlis di sini.