Terbaru Dari Facebook

30.1.10

PROGRAM MOTIVASI KEIBUBAPAAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2010 MERIAH

2 komentar

TELUK INTAN, 30 Januari - Program Motivasi Keibubapaan dan Anugerah Kecemerlangan Al-Munir 2010 mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para tetamu yang hadir. Majlis ini bertujuan sebagai makluman dan penerangan kepada ibu bapa dan orang ramai berkenaan perihal Sekolah Rendah Al-Munir dan sejarahnya, di samping memberikan hadiah dan anugerah kepada pelajar yang telah mempamerkan prestasi cemerlang di dalam peperiksaan pada tahun lepas. Dianggarkan lebih 200 orang termasuk ibu bapa dan pelajar telah datang memeriahkan majlis.

Majlis dimulakan seawal 9 pagi dengan bacaan doa pembukaan oleh Ustaz Borhan bin Abu Hassan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pengerusi Sekolah Rendah Al-Munir, Haji Sanusi bin Suratman. Dalam ucapannya, beliau telah menerangkan tentang sejarah, sistem pengajaran dan pembelajaran, pembangunan dan aktiviti-aktiviti Sekolah Rendah Al-Munir, disertakan dengan beberapa paparan gambar.

Majlis diteruskan lagi dengan ceramah oleh Yang Berbahagia Ustaz Haji Muhammad Nasar bin Haji Kurdi, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak. Beliau menggantikan tempat Yang Berbahagia Dato' Sheikh Mohd Nor bin Mansur, Pengarah Jabatan Agama Islam, yang tidak dapat hadir atas beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

Di dalam ucapannya, Ustaz Haji Muhammad Nasar menekankan pembelajaran agama dalam diri murid-murid, terutamanya yang masih kecil. Beliau kemudiannya merasmikan pelancaran tabung pembangunan Al-Munir. Harapan beliau ialah dengan sedikit sumbangan daripada semua yang hadir, Al-Munir dapat menampung lebih ramai pelajar dan memberikan keselesaan kepada semua murid untuk menuntut ilmu agama.

Acara yang dinantikan menjelang sejurus selepas ceramah motivasi tersebut. Pasukan nasyid Al-Munir, Shoutul Munir, dijemput untuk mendendangkan dua buah lagu. Majlis kemudiannya diakhiri dengan acara kemuncak iaitu penganugerahan hadiah bagi pelajar cemerlang 2009 dalam peperiksaan akhir tahun, peperiksaan UPSR, dan UPKK.

Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Haji Muhammad Nasar dan jamuan tengah hari kepada para hadirin.

25.1.10

PROGRAM MOTIVASI DAN KECEMERLANGAN



Program Motivasi dan Kecemerlangan tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tarikh  : 30 Januari 2010
Masa    : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Al Amein, Sekolah Rendah Al Munir
Perasmi : Yg Bhg. Dato' Sheikh Mohd Nor b. Mansur Al-Hafiz DPMP, AMP. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP)

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dengan berbesar hati menjemput tuan/puan ibu bapa/penjaga murid-murid Sekolah Rendah Al-Munir untuk sama-sama hadir ke program tersebut bagi memeriahkan lagi majlis.

Sekian dimaklumkan. Wassalam.

19.1.10

PANORAMA - 18 JANUARI 2010


14.1.10

SIAPA IBN TAIMIYYAH?


Taqi ad-Din Ahmad ibn Taymiyyah (nama penuh Taqī ad-Dīn Abu 'l Abbās Ahmad ibn 'Abd al-Halīm ibn 'Abd as-Salām Ibn Taymiya al-Harrānī; bahasa Arab: تقي الدين أبو العباس أحمد بن عبد السلام بن عبد الله ابن تيمية الحراني) adalah seorang sarjana Sunni yang lahir (22 Januari 1263 – 1328) di Harran, Turki. Beliau hidup semasa zaman kekacauan yang menyaksikan pencerobohan Mongol. Sebagai seorang yang bermazhab Hanbali, beliau mahu melihat masyarakat Islam kembali kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah.

Biografi

Ibnu Taimiyah lahir pada tahun 1263 di Harran di dalam keluarga yang alim. Sebuah buku biografi kurun ke-15 bertajuk At-Tibyan li badi'at al-Bayan (التبيان لبديعة البيان) menulis beliau adalah dari keturunan puak Arab Banu Numayr. Datuk beliau, Abu al-Barkat Majd ad-deen ibn Taymiyyah al-Hanbali (meninggal dunia pada tahun 1255), adalah seorang guru terkenal dalam mazhab Hanbali. Bapa Ibnu Taimiyah, Shihabuddeen Abd al-Haleem ibn Taymiyyah (meninggal dunia pada tahun 1284) juga dikenali dengan pencapaiannya ilmunya yang membanggakan.

Apabila tentera Mongol menceroboh, keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik pada tahun 1258 yang pada masa itu diperintah oleh kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir. Di Damsyik, bapanya menyampaikan kuliah agama di Masjid Umayyad dan Ibnu Taimiyyah mengikut jejak bapanya dengan belajar dari sarjana Islam terulung pada masa itu, di antaranya ilmu hadith dari Zaynab binti Makki.

Ibnu Taimiyah adalah seorang pelajar yang rajin dan membiasakan diri beliau dengan ilmu agama dan sains pada zaman itu. Beliau juga memberi tumpuan khusus kepada sastera Arab dan berjaya menguasai nahu dan tatabahasa Arab serta matematik dan kaligrafi. Beliau mempelajari fiqah dari bapanya dan menguasai ilmu tentang al-Quran dan Hadith. Beliau juga belajar mengenai ilmu kalam, falsafah, dan sufisme yang kemudiannya dikritik hebat oleh beliau.

Keberanian beliau terserlah ketika beliau bersama delegasi ulama mengadap Qazaan, seorang Khan Tartar, untuk memintanya menghentikan serangan ke atas orang Islam. Tiada seorang pun ulama yang berani berkata-kata kecuali Ibnu Taimiyah yang berkata: "Kamu mendakwa kamu seorang Islam dan kamu mempunyai Mu'adhdhin, Mufti, Imam dan Sheikh tetapi kamu menceroboh kami dan datang ke negeri kami untuk apa? Walaupun bapa dan datuk kamu, Hulagu seorang kafir, mereka tidak menyerang dan mematuhi janji mereka. Kamu pula berjanji tetapi ingkar."

Hukuman

Kerana Ibnu Taimiya seorang yang berani dan mempunyai pendirian yang teguh, beliau telah dipenjarakan beberapa kali kerana bertentangan pandangan dengan ahli agama yang lain.

Pada awal tahun 1293 beliau berkonflik dengan pihak berkuasa tempatan kerana membantah hukuman agama ke atas seorang Kristian yang dituduh menghina Nabi Muhammad. Pada tahun 1298 beliau dituduh menyebar fahaman anthropomorphisme (menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan) dan kerana mempersoalkan ilmu kalam.

Beliau mengepelai barisan pertahanan ketika pencerobohan Mongol ke atas Damsyik pada tahun 1300. Pada tahun berikutnya, Ibnu Taimiyah berhadapan dengan polemik terhadap (1) Syiah Kasrawan di Lebanon, (2) aliran Sufi Rifa'i, dan (3) aliran ittihadiyah yang berasal dari ajaran Ibnu Arabi, yang beliau anggap menyesatkan.

Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjaran di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman anthropomorphisme (menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan). Beliau dipenjarakan kembali pada tahun 1308 untuk beberapa bulan.

Ibnu Taimiyah menghabiskan 15 tahun terakhirnya di Damsyik bersama murid-muridnya. Seorang muridnya yang terkenal adalah Ibnu Qayyim. Pada bulan Ogos 1320 sehingga Februari 1321, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Damsyik kerana menyokong doktrin tentang talak (talak tiga boleh dilakukan dengan satu talak).

Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau terus mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia di dalam kurungan di Damsyik pada malam Isnin 27 September 1328 ketika berumur 65 tahun. Beliau dimakamkan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya.

Ibnu Taimiyah terkenal dengan daya ingatannya yang kuat dan ilmunya yang seperti sebuah ensiklopedia.


Sumber: Wikipedia

11.1.10

PELANTIKAN PENGAWAS BARU 2010


7.1.10

SIAPA IBN KHALDUN?


Tokoh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun (عبد الرحمن بن محمد بن خلدون الحضرمي) ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 - 1395.

Nama penuhnya adalah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Keluarga Ibn Khaldun merupakan orang berada yang memberikan pendidikan terbaik kepadanya. Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun turut mengembangkan falsafah tidak berasaskan keagamaan paling awal, terkandung dalam karyanya Muqaddimah (“Pengenalan”). Ibn Khaldun juga menulis sejarah Muslim di Afrika Utara yang terulung.

Ibn Khaldun menjawat beberapa jawatan di bawah pemerintah Tinisia dan Morocco dan pada tahun 1363 bertindak sebagai duta raja Moor di Granada, kepada Pedro Kejam Castile "the Cruel of Castile".

Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, dimana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387.

Ibn Khaldun menyertai orang-orang Mesir dalam kempen mereka memerangi Tamerlane, pemerintah Mongol, dan bertanggung jawab mengatur penyerahan diri bandar Damsyik semasa ketiadaan Sultan Faraj.

Karya teragungnya bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang di kurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal.

Ibn Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang, dan melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Dalam segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan keatas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Tambahan lagi, Ibn Khaldun terkenal kerana hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia, dan sejarah. Secara berseorangan, Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi intelelek pemikiran bebas Islam dan Arab, kerajaan bertanggung jawab, pasaran efisien, penyiasatan sains empirikal, pengkajian sosialogi, dan penyelidikan sejarah.

"Sesiapa jua yang mengambil harta orang lain, atau menggunakannya untuk kerja paksa, atau membuat tuduhan yang tidak wajar hendaklah ingat bahawa ini adalah apa yang Pemberi Hukum maksudkan apabila melarang ketidakadilan."
- Ibn Khaldun

Sumber: Wikipedia

2.1.10

ORIENTASI PELAJAR BARU 2010




Jika loading perlahan, anda boleh memilih untuk melihat album tanpa slideshow. Klik sini.