Terbaru Dari Facebook

16.5.10

SAMBUTAN HARI GURU 2010 HANGAT

0 komentar
TELUK INTAN, 14 Mei - Sekolah Rendah Al-Munir Padang Tembak telah melangsungkan sambutan Hari Guru lebih awal berikutan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, sambutan ini didapati cukup meriah walaupun dibuat dua hari lebih awal.

Seawal jam 7.30 pagi, para murid dan guru berkumpul dan berbaris di medan perhimpunan. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Fatihah, lagu Negaraku, juga lagu sekolah. Majlis kemudiannya disusuli ucapan daripada wakil pelajar, Hanif Jamaluddin, diikuti ucapan perutusan Hari Guru oleh Ustaz Haji Suhaimi Haji Sanusi, diakhiri dengan ucapan daripada Pengerusi Sekolah Rendah Al-Munir, Tuan Haji Sanusi Suratman.

Kemudian tibalah slot persembahan daripada murid dan guru. Murid-murid cukup hebat mendeklamasi sajak dan berpantun. Tidak kurang juga yang mampu bernasyid walaupun hanya beberapa hari sahaja membuat persediaan. Lakonan daripada pelajar yang membuatkan para guru tidak kering gusi pula memeriahkan lagi suasana.

Apabila tiba giliran para guru membuat persembahan, Al-Munir diselubungi sunyi. Deklamasi sajak oleh Ustazah Saadah Abbas, disusuli oleh Ustaz Hafiszuddin Ainuddin, yang dihiasi muzik latar yang menyedihkan membuatkan ramai guru dan pelajar tunduk, menitiskan air mata.

Kemuncak majlis akhirnya jelang tiba dengan penyampaian hadiah oleh para murid kepada guru-guru, menandakan kasih sayang mereka pada guru-guru yang telah berkorban mendidik mereka selama ini.

Majlis berakhir pada pukul 9.30 pagi.


---
Album sekitar majlis di sini.

10.4.10

KEPUTUSAN IHTIFAL ZON BAGI SEK. REN. AL-MUNIR

0 komentar
Berikut merupakan keputusan ihtifal peringkat zon yang telah berlangsung di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Hidayah, Ayer Hitam (bagi Sekolah Rendah Al-Munir):

  • Hafazan Al-Quran: Lelaki [JOHAN], Perempuan [KETIGA]
  • Khat: Perempuan [NAIB JOHAN]
  • Nasyid: Shoutul Munir [JOHAN]
  • Bercerita: Perempuan [KETIGA]
Tahniah diucapkan kepada semua yang telah melibatkan diri dengan majlis ihtifal ini. Menang kalah bukanlah ukuran sebenar. Apa yang dikira ialah usaha kita untuk mencapai kejayaan.

Tahniah juga buat guru-guru yang bertungkus-lumus mempersiapkan peserta untuk ke majlis ihtifal ini. Semoga kita semua beroleh keberkatan dari-Nya di dunia dan di akhirat.
Klik sini untuk melihat album gambar sekitar ihtifal zon.


29.3.10

SUKAN TAHUNAN 2010 MERIAH

0 komentar

25.3.10

MINGGU PRA-SUKAN AL-MUNIR

0 komentar
TELUK INTAN, 22 Mac - Bermula dari tarikh ini, Sekolah Rendah Al-Munir telah mengadakan latihan pra-sukan untuk menghadapi Hari Sukan kali ke-7 pada Ahad depan (28 Mac).

Latihan bermula dengan perbincangan antara rumah sukan pada hari Isnin. Setiap rumah sukan (Merah, Biru, Kuning, dan Hijau) diwajibkan membuat perbincangan untuk menetapkan siapa yang akan memasuki acara-acara yang ditetapkan.

Pada hari Selasa dan Rabu, latihan perbarisan diadakan. Para pelajar akan membuat perbarisan dan berkawat dari padang perhimpunan ke dataran kosong di sebelah Masjidut-Taqwa.

Seawal 7.45 pagi latihan sukan dan sukaneka dimulakan untuk para pelajar tahap satu pada hari Khamis. Latihan perbarisan pula diteruskan untuk pelajar tahap dua. Latihan berhenti menjelang waktu rehat dan kemudiannya diteruskan untuk pelajar-pelajar tahap dua untuk acara sukan dan sukaneka.

Raptai acara sukan diadakan pada pagi Jumaat di Padang Majlis Perbandaran, Teluk Intan.

 

30.1.10

PROGRAM MOTIVASI KEIBUBAPAAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2010 MERIAH

2 komentar

TELUK INTAN, 30 Januari - Program Motivasi Keibubapaan dan Anugerah Kecemerlangan Al-Munir 2010 mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para tetamu yang hadir. Majlis ini bertujuan sebagai makluman dan penerangan kepada ibu bapa dan orang ramai berkenaan perihal Sekolah Rendah Al-Munir dan sejarahnya, di samping memberikan hadiah dan anugerah kepada pelajar yang telah mempamerkan prestasi cemerlang di dalam peperiksaan pada tahun lepas. Dianggarkan lebih 200 orang termasuk ibu bapa dan pelajar telah datang memeriahkan majlis.

Majlis dimulakan seawal 9 pagi dengan bacaan doa pembukaan oleh Ustaz Borhan bin Abu Hassan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pengerusi Sekolah Rendah Al-Munir, Haji Sanusi bin Suratman. Dalam ucapannya, beliau telah menerangkan tentang sejarah, sistem pengajaran dan pembelajaran, pembangunan dan aktiviti-aktiviti Sekolah Rendah Al-Munir, disertakan dengan beberapa paparan gambar.

Majlis diteruskan lagi dengan ceramah oleh Yang Berbahagia Ustaz Haji Muhammad Nasar bin Haji Kurdi, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak. Beliau menggantikan tempat Yang Berbahagia Dato' Sheikh Mohd Nor bin Mansur, Pengarah Jabatan Agama Islam, yang tidak dapat hadir atas beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

Di dalam ucapannya, Ustaz Haji Muhammad Nasar menekankan pembelajaran agama dalam diri murid-murid, terutamanya yang masih kecil. Beliau kemudiannya merasmikan pelancaran tabung pembangunan Al-Munir. Harapan beliau ialah dengan sedikit sumbangan daripada semua yang hadir, Al-Munir dapat menampung lebih ramai pelajar dan memberikan keselesaan kepada semua murid untuk menuntut ilmu agama.

Acara yang dinantikan menjelang sejurus selepas ceramah motivasi tersebut. Pasukan nasyid Al-Munir, Shoutul Munir, dijemput untuk mendendangkan dua buah lagu. Majlis kemudiannya diakhiri dengan acara kemuncak iaitu penganugerahan hadiah bagi pelajar cemerlang 2009 dalam peperiksaan akhir tahun, peperiksaan UPSR, dan UPKK.

Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Haji Muhammad Nasar dan jamuan tengah hari kepada para hadirin.

25.1.10

PROGRAM MOTIVASI DAN KECEMERLANGAN



Program Motivasi dan Kecemerlangan tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tarikh  : 30 Januari 2010
Masa    : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Al Amein, Sekolah Rendah Al Munir
Perasmi : Yg Bhg. Dato' Sheikh Mohd Nor b. Mansur Al-Hafiz DPMP, AMP. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP)

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dengan berbesar hati menjemput tuan/puan ibu bapa/penjaga murid-murid Sekolah Rendah Al-Munir untuk sama-sama hadir ke program tersebut bagi memeriahkan lagi majlis.

Sekian dimaklumkan. Wassalam.