Terbaru Dari Facebook

30.1.10

PROGRAM MOTIVASI KEIBUBAPAAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2010 MERIAH


TELUK INTAN, 30 Januari - Program Motivasi Keibubapaan dan Anugerah Kecemerlangan Al-Munir 2010 mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para tetamu yang hadir. Majlis ini bertujuan sebagai makluman dan penerangan kepada ibu bapa dan orang ramai berkenaan perihal Sekolah Rendah Al-Munir dan sejarahnya, di samping memberikan hadiah dan anugerah kepada pelajar yang telah mempamerkan prestasi cemerlang di dalam peperiksaan pada tahun lepas. Dianggarkan lebih 200 orang termasuk ibu bapa dan pelajar telah datang memeriahkan majlis.

Majlis dimulakan seawal 9 pagi dengan bacaan doa pembukaan oleh Ustaz Borhan bin Abu Hassan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Pengerusi Sekolah Rendah Al-Munir, Haji Sanusi bin Suratman. Dalam ucapannya, beliau telah menerangkan tentang sejarah, sistem pengajaran dan pembelajaran, pembangunan dan aktiviti-aktiviti Sekolah Rendah Al-Munir, disertakan dengan beberapa paparan gambar.

Majlis diteruskan lagi dengan ceramah oleh Yang Berbahagia Ustaz Haji Muhammad Nasar bin Haji Kurdi, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak. Beliau menggantikan tempat Yang Berbahagia Dato' Sheikh Mohd Nor bin Mansur, Pengarah Jabatan Agama Islam, yang tidak dapat hadir atas beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

Di dalam ucapannya, Ustaz Haji Muhammad Nasar menekankan pembelajaran agama dalam diri murid-murid, terutamanya yang masih kecil. Beliau kemudiannya merasmikan pelancaran tabung pembangunan Al-Munir. Harapan beliau ialah dengan sedikit sumbangan daripada semua yang hadir, Al-Munir dapat menampung lebih ramai pelajar dan memberikan keselesaan kepada semua murid untuk menuntut ilmu agama.

Acara yang dinantikan menjelang sejurus selepas ceramah motivasi tersebut. Pasukan nasyid Al-Munir, Shoutul Munir, dijemput untuk mendendangkan dua buah lagu. Majlis kemudiannya diakhiri dengan acara kemuncak iaitu penganugerahan hadiah bagi pelajar cemerlang 2009 dalam peperiksaan akhir tahun, peperiksaan UPSR, dan UPKK.

Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Haji Muhammad Nasar dan jamuan tengah hari kepada para hadirin.

2 ulasan:

Abdul Munir Sanusi berkata...

bila lihat ana-anak kecil Al-Munir rasa tenang hati aku. Moga mereka dapat ditarbiyah dengan baik dan konsisten.


Moga-moga anak-anak ini bakal pengganti generasi ummah.

ninja97 berkata...

sayang sekaliana tidak dapat menghadiri majlis yg penuh barakah ini..walaubagaimanapun, setiap perbuatan itu penuh berhikmah